FOLLOW

Wednesday, 19 February 2014

Keputusan Sebuah Kehidupan


         Cahaya menyilau dari jendela yang senantiasa terbuka membiaskan tempiasnya kearah wajah lalu mengejutkan tidur yang sepertinya sebentar. Nyenyak benar, tubuh  yang berpeluh seperti baru dihambat dek mimpi ngeri sebenarnya tidur yang tiada mimpi, sama seperti hidup ini yang tidak dipasang mimpi dan harapan.
             
        Termenung dalam mamai, mungkin hampir mustahil untuk seorang manusia tidak menyimpan mimpi dan harapan. Atau aku punyai mimpi dan harapan, cuma sengaja aku putuskan mimpi dan harapan itu tidak pernah wujud kerana mimpi dan harapan itu akhirnya menemui kegagalan dan mempunyai batu penghalang. Jadi aku biarkan sahaja mimpi dan harapan itu menjadi angan-angan dan jika punyai kesempatan untuk aku laksanakan biarlah ianya menjamah masa bertahun asalkan hati masih tetap.
           
        Sejak tamat pengajian di ASWARA dalam bidang seni halus aku tidak kemana-mana. Seperti aku teperangkap terus tanpa jalan keluar dari Felda Desa Sergoa ini. Aku bukan benci dengan desa ini walaupun orang-orang disini  terkadangnya amat aku tidak senangi sikapnya, tetapi jiwa aku seperti berperang dengan diri dan melalui hati ianya berbisik aku bukan sekadar disini.
            
        Mana mungkin mimpi dan harapan itu mampu dicapai dalam keadaan jiwa diri itu dikurung. Sukar untuk kita bebaskan jiwa yang menentang keadaan yang sedang apa kita hadapi. Ianya haruslah bebas terlebih dahulu sebelum memerdekakan diri. Sama juga seperti konsep tulen negara yang merdeka, rakyatnya haruslah bebas jiwa dirinya. Kemudian, barulah negaranya merdeka dengan sempurna.


Jiwa

          
        “Krakk” Bunyi sekahan banir dari pohon Cengal kedengaran kuat seperti tulang balang dilenyek kereta kebal Markova. Dengan pantas aku menarik mata Chainsaw dari celahan banir yang sudah dipotong sebagai tanda berjaga-jaga. Pohon yang kekudanya itu sudah tidak ampuh tumbang meyembah bumi dan sepertinya bergegar sekeliling alam. Pada fikiran aku bagaimanakah jika bangunan seperti KLCC menerima hempakan pohon sebesar tiga pemeluk ini?. Aku fikir, remuk sebelah bangunan.
           
        Kerja yang aku suka di desa ini walaupun aku sudah tiada hati disini. Kalau punyai masa lapang aku kehutan menjerat binatang. Tapi, inilah satu-satunya kerja yang aku buat selepas tamat pengajian biarpun berisiko,menebang pohon dihutan atau membelah kayu jika ada permintaan. Kerja yang tidak terikat dan perlu mengikut jari telunjuk orang lain atau perlu memenuhi pencapaian orang atasan dan tekanan dikemudian hari.
          
        Aku tidak mengatakan bahawa bekerja dikilang atau punyai majikan itu hamba Kapitalis  mahupun orang yang terpaksa berkerja. Ianya perlu untuk menyara kehidupan, tetapi aku masih tidak faham mengapa kebanyakan rakyat selalu impikan bekerja dengan badan kerajaan. Mungkin tertarik dengan wang pencen atau mudah membuat pinjaman Bank atau sedap didengar oleh telinga bakal mertua dan mungkin itulah yang mewujudkan sifat terlalu bergantung. Akan tetapi bagaimana orang yang tidak bekerja dengan kita? Dalam erti kata lain pengangur. Menurut kefahaman aku dalam Negara ini manusia tidak kisah sangat tentang jenayah yang berlaku. Tetapi jika mengangur ianya mengundang sinis masyarakat.
            
        Bagi aku bekerja atau tidak dan dimana, apa-apa pun halnya tidaklah terlalu penting . Tetapi aku percaya seperti apa yang aku baca dan ditulis oleh bapa kapitalism Adam Smith dalam The Wealth of Nation dan The Road of Serfdom karya Friedrich Hayek ada menyatakan perkara yang sama iaitu setiap manusia mempunyai bakat dan kamampuan untuk mencapai sesuatu bedasarkan bakat dan minat.
             
        “Tahukah kau Sani apa tindakannya jika Jabatan Perhutanan dapat menangkap orang yang menceroboh hutan?.” Soalan aku yang cuba menduga teman sekerja.                                                  
        “Manusia yang sentiasa meyusahkan keadaan.” Sani yang sedang mengambil saiz ukuran kayu.
        “ Aku tak fikir ini mencuri, sebagai manusia kau ada hak untuk ini. Tidak semestinya kerajaan kata salah ianya bermakna salah. Kau harus ingat Yok, hasil bumi yang sudah dijarah oleh mereka selama ini hanyalah untuk mereka dan tidak berbalik dengan sepatutnya.”  Mungkin benar kata-kata Sani itu dan ada logiknya. Banyak hasil bumi yang telah tersedia bagi manusia untuk dikerjakan sebaiknya. Jadi gunakanlah sebaik-baiknya.


Keraguan


         Kopi yang dibikin panas-panas oleh Mak Cik Sal memang sedap dihirup tak kala hujan lewat begini. Aku, Che Hamdan, Sani, Pak Cik Man semeja masing-masing lebih senang membisu. Hujan lebat yang menghempas atap secara kasar kemudiannya menempiaskan kabusan air ke wajah, mungkin membuatkan semua warga warung membisu sejak tadi. Tembakau timbang dan daun pucuk pula menjadi ruji warga semeja, sesekali menghirup minuman sambil menikmati hujan yang masih menghempas atap.
        Tersenyum semua acapkali ada teman yang bersuara. Aku menyatakan jika hujan begini tentu seronok jika bertemu tilam dan bantal, masing-masing tersenyum dan menganguk seperti yang dijangka. Aku tahu hujan ini membuatkan mereka semua tenang ketika semua warga warung yang lain sudah meredah hujan pulang. Yang tinggal hanya kami berempat dan Mak Cik Sal.
        “Masih sayang dengan desa ini?”  Pak Cik Man bersuara.
        “buat apa fikir banyak lagi kalau hati sudah bukan disini. Tahulah mak dan ayah kamu menjaga diri,Abang dan Kakak kamu pun boleh tengok-tengokkan. Tak seronok juga ada impian kalau tak direalisasikan, dah tua-tua nanti macam aku ni apa pun tak pernah jadi.”  Aku hanya diam tak terkata mendengar kata-kata itu.
        “Senang-senang kamu ikut abang sajalah, kerja ikut berlayar. Boleh pergi banyak tempat dalam dunia ni, kalau impian kamu tu hendak ke jepun pun boleh” Kali ni aku tersenyum sedikit mendengar kata-kata Che Hamdan, berat untuk menolak berat juga untuk menerima.
        “Ah, mana mau dia bekerja macam penjara macam tu, kamu boleh lah. Sesekali barulah dapat menjejak tanah.”  Tersengih Che Hamdan dengan gurauan yang sudah dianggap biasa dari Pak Cik Man sesekali terjenguk juga Mak Cik Sal dari dapur yang sedang membasuh pinggan.
       “Tapi kalau kamu nak kumpul duit untuk masa depan ke apa ke boleh ikut Abang belayar. Memang lah terikat sedikit hidup diatas kapal. Tapi kalau kamu ada rancangan yang lebih jauh dan kamu rasa baik untuk kamu, kamu teruskan sahaja, abang tidak menghalang.”
       “Saya memang ada memasang sedikit angan-angan, tapi tidak tahu bila hendak mula. Buat masa ini biarlah tinggal didesa dulu.”
       “Dah bila lagi nak mula. Nanti takut jadi hangat-hangat tahi ayam pula bila disimpan lama-lama.” Pak Cik Man yang sesekali menghirup kopi.
       “Nanti bila saya sudah siap sedia, barulah saya pergi mengembara.” Tercengang Che Hamdan dan Pak Cik Man mendengar perkataan itu daripada mulut aku.
        Seraya ketawa “kamu ni biarlah benar  jika nak bergurau pun. Abang ingat kamu setakat nak ke Kuala Lumpur saja.” Kemudian tawaan tadi beransur reda.
       “mengembara ni bukan perkara main-main. Apa benar itu selama ni yang kamu simpan?.” Aku hanya memandang Sani ketika Pak Cik Man bertanyakan itu. Kerana sani sudah lama mengetahui rencana sebenar aku itu.
       “Ya, memang benar. Adakah salah jika saya menyimpan impian dan mimpi sebegitu?”
       “Salah atau Aku ini menghalang itu tidak, tapi impian kamu itu haruslah difikir masak habis. Mengembara ini bukan perkara remeh. Apa yang kamu ingin buat ini lebih besar untung ruginya. Apa yang kamu dapat bila mengembara nanti misalnya, kamu hendak kemana dan terlalu banyak perkara yang perlu dihitung.” Tekan Pak Cik Man.
       “Macam mana masa hadapan kamu nanti? Takkala anak muda seusia kamu sekarang sedang sibuk mencari wang, Abang pun tidak tahu bagaimana kamu boleh terfikir untuk mengembara.” Che Hamdan hanya Mengeleng kepala tanda ambil serius. Sesekali mata aku menjenguk juga ke dalam warung kerana khuatir dan segan kalau-kalau perbualan ini didengari Mak Cik Sal.
       “Terserah kepada kamu lah wahai anak muda. Hidup kamu, ada baiknya kamu yang tentukan.” Akur Pak Cik Man.

Bebas


         Aku hanya berbaring menghadap syiling yang dibelakangi kipas. Mimpi dan Impian itu benar-benar menghambat kembali penyimpannya, yang sebelum ini hanya acuh tidak acuh tetapi saat dan ketika ini seperti ianya menuntut janji untuk ditunaikan. Apa benar aku sudah cukup bersedia, dimanakah tekad aku tentang hal ini.                            
          
         Sejak pulang dari warung, otakku ligat memikirkan tentang hal ini tanpa henti. Hidup ini perlu dijalani sebaiknya dan jangan disia-siakan. Tapi ini bukanlah jalan untuk mensia-siakan hidup. Lagipun aku tidak mahu teperangkap lama di dalam desa yang sepertinya karnivor ini, indah pada pandangan tetapi mampu menelan jiwa. Ada baiknya aku pergi sahaja menurut impian ini dan aku juga tidak mahu impian aku berakhir dengan menjawat jawatan dalam badan kerajaan semata.
            
        Soal hendak kemana atau apa untung rugi hidup sudahpun aku fikirkan sebelum bait soalan itu terkeluar dari mulut Pak Cik Man atau Che Hamdan. Lagipun aku pernah terbaca artikel tentang seorang  pengembara perancis mengembara tanpa apa-apa kesana kemari. Jika begitu mengapa aku tidak boleh lakukannya, bukankah dia juga seorang manusia biasa. Apa yang kita hadapi sebenarnya bukanlah keadaan tetapi yang lebih teruk daripada itu adalah tahap kekuatan mental dan hati. Aku percaya jika aku punyainya aku juga mampu.
            
        “Tecum noesce” dari bahasa latin, jika di melayukan menjadi “kenali diri sendiri”. Pada pemikiran aku, aku harus kenali diri sendiri.  Apakah aku. Apa yang perlu aku lakukan sebagai manusia dan menjalani kehidupan sewajarnya. Mungkin cara untuk aku memahaminya adalah melalui pengembaraan ini. Dan tidak pula aku mencuba untuk menjadi seseorang eksistensialis seperti yang dipengaruhi oleh ahli falsafah Soren Kierkegaard, Jean Paul Satre mahupun Friedrich Nietzsche. Walaupun begitu serupa dengan apa yang aku lalui tetapi aku tidak mengangap ini satu eksistensialism sebolehnya.

             
         Aku lakukan ini dengan rela hati tanpa dipaksa oleh sesiapa pun, jika gagal bukan kehidupan namanya. Gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya. Keputusan ini telah mula berputik semula setelah sekian lama teragak-agak dan digengam erat sambil bersiap siaga dengan segala kemungkinan nanti. Semoga akan jumpa makna dan apa yang ku cari didunia luar sana, sebuah pengertian hidup yang luas tanpa batasan. 

No comments:

Post a Comment