FOLLOW

Thursday, 10 July 2014

Apa Kita Patut Buat Sebenarnya, Boikot cukup ke?

Semalam selepas aku berbuka puasa, belum pun aku membuka komputer dan menceroboh masuk ke laman sosial sendiri, TV3 menyampaikan berita yang sudah aku jangka akan terjadi. Walaupun aku sudah beberapa hari menjauhkan diri dari media atau senang cerita aku mengetahui perkara tersebut agak lewat dari orang lain. Perkara tersebut sudah berlaku sejak 1948, iaitu perkara berkaitan Israel - Palestin.

Aku perhati sahaja kaca TV, tekun mendengar perkara yang aku dah tahu dan orang lain tahu. Aku jadi marah juga walaupun aku sedikit kritis dalam banyak hal. Sambil aku merokok, aku asyik terfikir sampai bila benda ini akan berterusan. Tiada siapa pun dalam dunia ini yang inginkan peperangan. Peperangan amat sakit untuk dihadapi, boleh sahaja kau selak segala sejarah peperangan dalam abad ini tanpa mengira abad lain. Itu pun sudah cukup untuk buatkan kau tidak selesa perasaan.

Tapi, walau macam mana pun kau cakap kau bertamadun atau berada pada bangsa yang bertamadun tinggi, perang tak pernah berakhir. Selagi ada dunia dan manusia, selagi itu perang akan berterusan. Lumrah dunia menjadikan manusia sentisa berperang bagi menuntut segala benda yang hak atau pun bukan - dalam isu ini Israel dan Palestin.

Selepas penindasan kaum yahudi oleh Adolf Hitler dari Nazi dan Nazi tewas dalam perperangan, kaum yahudi telah dipindahkan oleh British sedikit demi sedikit ke tanah palestin. kemudian sedikit demi sedikit - mereka yahudi menakluk Palestin. Aku tersentuh banyak dalam soal ini. Kerana aku punya kesedaran yang amat tinggi juga, sebab bila aku fikir soal tanah yang diceroboh aku jadi marah. Kau tak boleh simpan perasaan kau dan tak terlepas juga membayangkan perasaan dimana tanah tumpah darah kau diceroboh dan dirampas oleh orang yang menumpang pada asalnya. Faktornya juga adalah aku orang islam dan kesedaran itu datang lebih tebal.

Kemudian selepas perasaan itu semua membelengu, aku terasa hendak membuka laman sosial milik aku. Seperti jangkaan aku juga, Facebook juga tidak terlepas dengan sebaran isu Israel -Palestin yang bertaburan dan bertembung sesama sendiri. Dan jangkaan aku lagi tebal, sebab aku pasti akan ada soal boikot-memboikot berlaku. Memang terbukti jangkaan aku.

Tak terlepas juga aku menyelak setiap halaman dan komen untuk membaca sebarang dua berita, ada yang berlebihan ada yang berkadar. Kemudian aku jadi marah sangat apabila aku membaca setiap komen ataupun status para Facebookers. Soal bercakap tidak guna otak dan membabi buta adalah kemarahan utama. Setiap orang ada pendapatnya sendiri dan aku berpendapat soal boikot ini wajar juga tapi kurang berjaya. Kerana dalam entri kasar-kasar aku sebelum ini yang berlainan dengan entri ini sudah aku katakan boikot tidak berjaya dikalangan orang melayu kerana mereka kurang bersunguh.

Aku menghidupkan api rokok dimana sebagai seorang perokok aku sukar untuk membuang tabiat ini dan rokok katanya - jika merokok ibarat membunuh anak-anak Palestin tanpa mereka membentangkan pengesahan yang sah, seperti juga barangan lain - dimana duit yang kita laburkan akan sampai ke tangan yahudi dan aku tak mahu usik soal Israel berurusan dengan Malaysia tentang kapal kontena atau apa walaupun aku tahu itu betul dan jelas.

Kemudiaan aku hairan dengan mereka yang bersunguh-sunguh tentang hendak menyuruh orang lain memboikot sama dan dalil-dalil mereka tidak munasabah. Misalnya, anda beli anda penyumbang kepada setiap kematian, Kau ni nak tengok saudara kita mati, kau orang yahudi ke taknak boikot atau mereka ada alasan untuk defend diri bila disuruh boikot Facebook yang mereka guna seperti "kita guna barangan mereka untuk jatuhkan mereka semula" "boycott with brain". Tapi disebabkan aku adil, aku setuju juga dengan boycott with brain ini. 

Soal guna Facebook untuk sebarkan dan tekan mereka(Israel) dengan propaganda-propaganda sahih kita mungkin akan berjaya sedikit kerana ramai orang islam dan melayu tentunya menggunakan Facebook. Seperti aku katakan, aku sedikit adil - aku punyai idea yang baik juga aku kira.

Kenapa kita tidak sebarkan pada orang ramai bahawa McD tidaklah menyihatkan kita, sama juga dengan KFC. Ayamnya ayam yang disuntik bukan? sebarkan dengan bersunguh-sungguh dan orang takkan boikot lagi, kerana orang takkan pergi makan ditempat yang dimana makanannya tidak sihat. Sama juga Starbuck, buat kedai kopi kita sendiri yang ada class sama macam Starbuck. Seperti aku yang merokok - selagi kerajaan ingin untung dengan cukainya, hasilkan tembakau kita sendiri yang sedap rasanya - disini kita sudah punyai rokok sendiri, rokok daun. Tapi ianya tidak memenuhi rasa tekak setiap perokok di Malaysia. Kemudian sama juga dengan barangan lain yang orang propagandakan suruh boikot tanpa kau bersedia.

Berkenaan generasi kita, mulakanlah dengan pendidikan yang lebih mendalam dan bukan sekadar berlumba untuk sijil. Tanamkan sifat nasionalis dalam diri mereka supaya mereka ini bila dewasa kelak tidaklah seperti melepaskan batuk ditangga. Sifat nasionalis ini penting bukan sekadar kepada negara tetapi kepada agama juga dan dipanggil nasionalis kepada agama namanya. Aku percaya, jika ini ada kita akan berada diatas. Seperti didalam buku 
Arnold Toynbee, Civilization On Trial dan The World And The West - mengambarkan Soviet Union tidak dapat bertahan lama kerana mereka tidak ada agama(bukan semua), tidak ada kepercayaan, tidak ada iman dibelakang ideologi mereka. Sejarah membuktikan bahawa kepercayaan, jiwa dan keyakinan kepada kuasa tuhan adalah penting. Sebab lain, Soviet Union juga runtuh kerana ekonomi mereka tidak berjalan lancar dan seperti kapitalis mereka juga penindas pada akhirnya. 

Dalam isu Israel - Palestin, bagaimana 50 atau 100 tahun lagi? Aku rasa mereka pun dah tak ingin kuasai tanah itu tetapi ingin kuasai dunia sepenuhnya. Jadi apa yang kita patut buat sebenarnya?